Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Kerangka pertimbangan kelulusan permohonan pembangunan ladang solar di atas tanah pertanian di negeri Johor

Sahid, Mohd. Shahrizan (2022) Kerangka pertimbangan kelulusan permohonan pembangunan ladang solar di atas tanah pertanian di negeri Johor. PhD thesis, Universiti Teknologi Malaysia, Faculty of Built Environment & Surveying.

[img]
Preview
PDF
578kB

Official URL: http://dms.library.utm.my:8080/vital/access/manage...

Abstract

Dalam memproses permohonan pembangunan ladang solar, kelulusan daripada pihak perancang dan pentadbiran tanah diperlukan untuk mendapatkan kebenaran merancang dan kelulusan tanah. Namun, di negeri Johor, ketiadaan proses khusus untuk mempertimbangkan kelulusan permohonan pembangunan ladang solar di peringkat pentadbiran tanah menyebabkan kelulusan hanya diperoleh daripada pihak perancang. Keadaan ini menjadi semakin rumit apabila isu pelanggaran syarat memberi kesan kepada semua pemegang taruh yang terlibat khususnya operator, pemilik tanah dan kerajaan. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti polisi dan perundangan di negara ini yang menyokong pembangunan industri solar negara; yang kedua mengkaji elemen-elemen yang diguna pakai untuk pertimbangan kelulusan bagi pembangunan ladang solar yang dibangunkan di atas tanah pertanian; dan yang ketiga mencadangkan kerangka untuk pertimbangan kelulusan permohonan pembangunan ladang solar di atas tanah pertanian. Reka bentuk kajian kes telah diguna pakai menggunakan kaedah campuran di empat ladang solar. Terdapat ladang solar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) Plantation di Kota Tinggi, ladang solar UiTM Sri Alam di pasir Gudang dan dua ladang solar Fairview Equity Project Sdn Bhd di Mersing dan Kluang.Data kualitatif diperoleh melalui temu bual dengan empat orang responden yang terlibat secara langsung dengan proses pembangunan tanah di Negeri Johor. Mereka bersetuju untuk menggunakan kaedah permit khas untuk membangunkan ladang solar, yang ciri-cirinya sama dengan pembangunan menara telekomunikasi. Untuk mencapai objektif pertama, analisis kandungan telah dijalankan melalui perisian ATLAS.ti 8 terhadap polisi dan perundangan yang berkaitan dengan pembangunan industri solar negara. Seterusnya, untuk mencapai objektif kedua, teknik analisis yang sama digunakan untuk mengenal pasti elemen pertimbangan untuk kelulusan permohonan pembangunan ladang solar dari kajian lepas. Penemuan analisis ini mendapati lima elemen utama iaitu perundangan dan tadbir urus (23 sub-elemen), teknikal (34 sub-elemen), sosial (21 sub-elemen), ekonomi (44 sub-elemen), dan alam sekitar (72 sub-elemen). Seterusnya, penemuan analisis ini digunakan untuk menilai keutamaannya melalui kajian soal selidik yang dilakukan terhadap 30 orang responden yang dipilih menggunakan teknik persampelan bertujuan. Data kuantitatif kemudiannya dianalisis menggunakan Analytical Hierarchy Process (AHP). Hasil analisis ini dijadikan sebagai asas bagi pembentukan kerangka pertimbangan permohonan pembangunan ladang solar di atas tanah pertanian bagi mencapai objektif ketiga. Kerangka ini kemudiannya telah disahkan oleh Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Johor menerusi satu sesi temu bual. Hasil cadangan kerangka yang dikemukakan ini telah menambah sumbangan kepada ilmu pengetahuan melalui metodologi yang digunakan untuk memulakan proses permohonan. Kerangka ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada pentadbir tanah dalam memproses permohonan yang dikemukakan untuk pertimbangan pihak berkuasa negeri. Dalam masa yang sama, pemohon boleh menggunakan format cadangan kertas kerja pembangunan ladang solar di atas tanah pertanian yang turut mengandungi elemen elemen yang dicadangkan agar selaras dengan keperluan pentadbir tanah dalam menyediakan perakuan.

Item Type:Thesis (PhD)
Uncontrolled Keywords:pembangunan ladang solar, pentadbiran tanah, Analytical Hierarchy Process (AHP)
Subjects:G Geography. Anthropology. Recreation > G Geography (General)
Divisions:Built Environment
ID Code:99934
Deposited By: Yanti Mohd Shah
Deposited On:29 Mar 2023 06:04
Last Modified:29 Mar 2023 06:04

Repository Staff Only: item control page