Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Globalisasi dan hubungan etnik

Othman, Muhammad Fauzi and Abdul Hamid, Mohd. Azhar and Balwi, Mohd. Koharuddin (2009) Globalisasi dan hubungan etnik. In: Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif, Teori dan Praktik. Penerbit UTM Press, Skudai, Johor, pp. 240-264. ISBN 978-983-52-0724-2

[img] PDF (Fulltext)
519kB

Abstract

Sebagai suatu fenomena yang telah dan sedang merubah dunia, globalisasi mempengaruhi sebahagian besar hidup kita, secara sedar ataupun tidak, mahu tidak mahu. Dalam era globalisasi, isu-isu budaya dan identiti bangsa, serta isu perpaduan dalam negara menghadapi pelbagai cabaran. Antara cabaran yang paling utama ialah bagaimana globalisasi akan mempengaruhi budaya saintifik dan teknologi di negara kita ini. Apakah dengan globalisasi kita akan bergerak dari masyarakat pengguna teknologi, kepada masyarakat penyumbang peradaban dan teknologi sebagaimana yang dicita-citakan dalam 9 cabaran Wawasan 2020 menerusi ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertajuk “The Way Forward” pada tahun 1991. Memang tidak dapat dinafikan bahawa globalisasi merupakan suatu perkembangan yang amat penting dan boleh membawa keuntungan kepada kita di Malaysia. Sebagai contoh, kemasukan maklumat dan ilmu pengetahuan yang cepat dan murah melalui perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan memberi manfaat yang besar kepada pembangunan tamadun kita. Peningkatan peluang pendidikan ini akan membawa kepada peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah. Globalisasi juga sepatutnya membawa interaksi antara tamadun, dialog serta faham-memahami di kalangan penganut-penganut agama utama di dunia. Globalisasi tidak sepatutnya melahirkan konflik agama sebagaimana yang berlaku hari ini. Malah melalui pendedahan sifat dan perjuangan kemanusiaan seperti usaha menyelamatkan alam sekitar dan hidupan liar, kita sepatutnya melahirkan a learned and cultured society . Ini akan meningkatkan taraf kehidupan dan tamadun kita. Walau bagaimanapun, tidak semuanya indah belaka tentang globalisasi. Selain daripada itu ialah cabaran sosio-budaya yang wujud akibat kebanjiran pengaruh budaya Barat. Menurut Osman Bakar (2002), globalisasi yang akan berlaku dalam gelombang yang ketiga ini tentunya akan terkesan bukan sahaja dalam bidang ekonomi, perdagangan, teknologi maklumat dan sosio-budaya tetapi juga dalam bidang kebudayaan, cara hidup dan kepenggunaan. Keadaan ini jelas berlaku dalam kehidupan seharian kita seperti penguasaannya dalam makanan. Jenama-jenama makanan transnasional seperti McDonalds, Kentucky Fried Chicken, A&W, Pepsi, Coca Cola dan sebagainya sudah begitu sinonim dengan rakyat di negara kita. Inilah yang dikatakan oleh Wilfred (dlm. Lukman dan Mohd Yusoff, 2003) sebagai peringkat terkini dominasi ekonomi dan budaya Barat ke atas dunia. Fenomena ini juga dinamai sebagai penjenamaan global (Yusniza, 2003). Sekiranya kita ‘berada dalam kasut’ atau pada pihak Barat, sesungguhnya globalisasi ini mendatangkan terlalu banyak kebaikan kepada kita sehinggakan nilai-nilai dan budaya pemakanan kita diikuti orang, namun bagi sesebuah negara kecil dan membangun, fenomena globalisasi ini tidak mustahil akan memusnahkan jati diri dan identiti masyarakatnya. Keadaan ini tidak bermaksud bahawa globalisasi hanyalah sesuatu yang negatif semata-mata tetapi manfaat yang dibawa juga adalah besar terutamanya dalam bidang pemindahan teknologi, komunikasi global berpaksikan ICT serta perluasan pasaran barangan produk kita. Walau bagaimanapun kita harus berhati-hati apabila menerima kedatangan arus globalisasi ini.

Item Type:Book Section
Subjects:H Social Sciences > HD Industries. Land use. Labor > HD28 Management. Industrial Management
Divisions:Management and Human Resource Development
ID Code:14545
Deposited By: Siti Khairiyah Nordin
Deposited On:26 Aug 2011 03:34
Last Modified:13 Aug 2017 00:43

Repository Staff Only: item control page