Wan Daud, Wan Ahmad Hazman (2022) Kerangka kerja pemilikan tanah Orang Asli di semenanjung Malaysia. PhD thesis, Universiti Teknologi Malaysia, Faculty of Built Environment & Surveying.
|
PDF
282kB |
Official URL: http://dms.library.utm.my:8080/vital/access/manage...
Abstract
Masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada kumpulan minoriti yang menetap di bumi bertuah Malaysia. Masyarakat Orang Asli percaya bahawa tanah adalah warisan paling suci yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dan harus diwariskan kepada generasi seterusnya. Menurut Kanun Tanah Negara 1965, melalui Sistem Torrens yang diamalkan di Malaysia, pendaftaran hak milik adalah segala-galanya dan hak milik tanah yang dianugerahkan tidak boleh dipertikaikan. Namun, pendudukan Orang Asli di tanah adat mereka secara asasnya adalah sebagai penyewa yang diberikan hak untuk menduduki secara ihsan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan tidak mempunyai hak pemilikan ke atas tanah tersebut yang boleh menyebabkan mereka diusir pada bila-bila masa. Oleh itu, kajian ini dijalankan berdasarkan tiga objektif iaitu mengenal pasti jenis pemilikan tanah Orang Asli di Semenanjung Malaysia, mengkaji kelemahan pemilikan tanah Orang Asli dan seterusnya membentuk kerangka kerja pemilikan tanah bagi tanah Orang Asli. Dua sumber data diperolehi, data sekunder dan data primer, melalui pendekatan kualitatif. Data sekunder diekstrak daripada laporan kerajaan, artikel, akhbar, buku dan jurnal. Pada masa yang sama, bagi sumber data primer, temu bual mendalam dijalankan dengan lima orang yang terlibat dalam pengurusan tanah Orang Asli menggunakan soalan temu bual separa berstruktur. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis secara deskriptif menggunakan kaedah analisis kandungan. Hasil daripada kajian ini, enam kelemahan dikenal pasti iaitu tiada pemilikan tanah, tempoh milikan 99 tahun, pembayaran premium dan cukai berkala, kelemahan Akta Orang Asli, kelemahan pentadbiran JAKOA dan pertikaian berkaitan tanah adat Orang Asli. Tujuh penambahbaikan telah dibuat berdasarkan model yang dicadangkan. Ini termasuk mengiktiraf pendudukan Orang Asli di tanah adat mereka dengan mengeluarkan hak milik, JAKOA diberi kuasa dan dinaik taraf sebagai Suruhanjaya Orang Asli, isu pemilikan tanah bagi tempoh 99 tahun diubah kepada selama-lamanya, isu pembayaran premium dan cukai berkala menerusi kaedah menang-menang, Akta Orang Asli harus dipinda mengikut perkembangan semasa dan sebarang isu berkaitan permohonan dan pertikaian tanah adat Orang Asli diuruskan oleh Suruhanjaya yang akan dibentuk. Diharap kajian ini mampu membantu masyarakat Orang Asli menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah yang dihadapi sejak sekian lama terutamanya berkaitan pemilikan tanah kerana ini merupakan warisan, tradisi dan hubungan spiritual mereka dengan tanah mereka.
Item Type: | Thesis (PhD) |
---|---|
Uncontrolled Keywords: | Orang Asli, JAKOA, pemilikan tanah |
Subjects: | H Social Sciences > HD Industries. Land use. Labor |
Divisions: | Built Environment |
ID Code: | 100040 |
Deposited By: | Yanti Mohd Shah |
Deposited On: | 29 Mar 2023 06:29 |
Last Modified: | 29 Mar 2023 06:29 |
Repository Staff Only: item control page