Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Dilema penghasilan sebuah buku terjemahan dalam bahasa Melayu

Ismail, Issham and Ahmad Shah, Wan Mahzom (1995) Dilema penghasilan sebuah buku terjemahan dalam bahasa Melayu. Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-5 . pp. 155-167.

[img] PDF
566kB

Abstract

Negara-negara membangun di Asia kebanyakannya kaya dengan sumber asli. Satu perkara penting yang perlu diperhatikan di sini ialah kemajuan yang dikecapi sesetengah negara membangun, terutama di Asia, yang hanya bergantung pada eksport bahan pertanian, perhutanan dan galian yang dimiliki oleh mereka. Hal ini kerana komoditi tersebut jika dieksport secara mentah hanya dapat menyumbangkan pendapatan yang kecil kepada negara berkenaan. Fenomena ini sudah tentu gagal membantu meningkatkan ekonomi negara membangun tersebut, tetapi sebaliknya akan mengayakan lagi negara-negara maju yang merupakan pintu masuk bagi bahan mentah tersebut. Untuk mendapatkan pendapatan yang optimum daripada sumber asli masing-masing, setiap negara membangun mesti sanggup menggemblengkan masa, tenaga, kepakaran, dan juga memanfaatkan teknologi terkini bagi menghasilkan bahan-bahan pengeluaran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi, yang lazimnya memberikan pulangan berlipat kali ganda lebih tinggi daripada harga komoditi itu sendiri. Walau bagaimanapun, sesebuah negara membangun itu tidak sepatutnya hanya bergantung pada kepakaran dan teknologi yang diimport kerana semuanya ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar dan menguntungkan negara-negara maju. Usaha negara membangun menghasilkan teknologi dan kepakaran mereka sendiri akan tidak disenangi oleh negara-negara maju kerana perkembangan seumpama ini boleh menjejaskan ekonomi mereka secara langsung lebih-lebih lagi bagi negara maju yang kekurangan sumber asli. Untuk mempercepat pembangunan negara Asia amnya dan Malaysia khususnya, usaha-usaha mesti dititikberatkan seperti memberi latihan, pengetahuan, dan kemahiran supaya dapat melahirkan tenaga kerja yang berinovasi tinggi dan kreatif, berupaya mencorakkan pengeluaran negara masing-masing dengan menggunakan kepakaran dan teknologi buatan sendiri. Untuk mencapai matlamat ini bukanlah satu usaha yang mudah. Setiap orang yang terlibat perlu melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan yang cukup, pengalaman yang luas dan berupaya menghayati proses kerja dengan baik. Matlamat ini boleh dicapai dengan menjalani latihan sambil bekerja dan belajar di negara maju. Proses mendapatkan ilmu di luar negara melibatkan kos yang sangat tinggi dan tidak semua mampu mendapat peluang seumpama ini. Berdasarkan pengalaman yang lalu, proses pemindahan ilmu biasanya tidak dipindahkan dengan lengkapnya disebabkan kepentingan pembekal ilmu itu sendiri yang mahu menjadikannya sebagai bahan komersial. Jadi terpulanglah kepada negara membangun itu sendiri untuk mecorakkan masa depan negara mereka. Terjemahan bukanlah merupakan satu perkataan yang asing bagi kita semua. Sehingga kini, perhatian yang diberikan oleh masyarakat Malaysia kepada kegiatan ini begitu dingin sekali oleh-olah ia tidak memberi banyak manfaat. Kita mungkin tidak sedar bahawa banyak kejayaan yang dicapai oleh negara-negara maju setakat ini telah disumbangkan oleh ilmu dan maklumat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda masing-masing yang dilakukan secara terancang. Sebagai contoh, negara Jepun dan Jerman, setelah mengalami kehancuran yang teruk ketika Perang Dunia Kedua, berupaya bangun semula sehingga menjadi negara maju yang disegani di seluruh dunia. Banyak buku daripada berbagai-bagai negara maju yang menggunakan bahasa yang berlainan telah diterjemahkan ke dalam bahasa ibundanya, sehingga dapat membantu Jepun melahirkan tenaga kerja yang berinovasi tinggi. Malaysia sebagai sebuah negara membangun di Asia juga berada pada landasan tersebut tetapi masih menghadapi beberapa ranjau dalam kerja-kerja penterjemahan ke dalam bahasa Melayu yang perlu ditangani bersama dengan segera. Untuk membolehkan rakyat sesebuah negara membangun itu menimba ilmu daripada sesebuah buku terjemahan dengan berkesan, maka kerja-kerja penterjemahan perlu dilakukan dengan terancang supaya semua maklumat yang terkandung dalam sesebuah buku asal itu dapat disampaikan dengan tepat kepada penggunanya. Perbincangan yang berikut menyentuh tentang masalah-masalah yang sering timbul ketika berlangsungnya proses penterjemahan serta beberapa cadangan penyelesaian yang mungkin boleh dikongsi bersama manfaatnya atau menjadi renungan pembaca untuk dijadikan sebagai satu jambatan dalam memantapkan lagi mutu kerja penterjemahan. Kertas kerja ini memberikan penumpuan kepada permasalahan penterjemahan buku bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu

Item Type:Article
Uncontrolled Keywords:Buku berbahasa Melayu, buku terjemahan, dilema terjemahan
Subjects:Q Science > Q Science (General)
Divisions:Chemical and Natural Resources Engineering
ID Code:4077
Deposited By: Prof Madya Issham Ismail
Deposited On:23 Jul 2007 08:30
Last Modified:01 Jun 2010 03:14

Repository Staff Only: item control page