Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Pembangunan sistem pembelajaran individu di persekitaran web

Ali, Mohamad Bilal and Aris, Baharuddin and Abu, Mohd. Salleh (2008) Pembangunan sistem pembelajaran individu di persekitaran web. In: Inovasi Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Komputer. Penerbit UTM , Johor, pp. 31-50. ISBN 978-983-52-0514-9

[img]
Preview
PDF
43kB

Official URL: http://www.penerbit.utm.my/bookchapterdoc/FP/bookc...

Abstract

Pendidikan merupakan satu sektor utama dan penting dalam sesebuah negara. Ia merupakan satu kayu ukur kepada tamadun manusia. Tahap literasi negara maju lebih tinggi berbanding dengan negara mundur atau negara yang sedang membangun. Kesedaran kepada kepentingan pendidikan ini telah mendorong keutamaan belanjawan diberikan kepada sektor pendidikan. Negara Malaysia dalam rancangan Malaysia ke 9 telah memperuntukkan sejumlah RM50,586 juta untuk pendidikan dan latihan atau 23% daripada keseluruhan budget negara (The Economic Planning Unit, 2006). Peruntukan yang besar ini digunakan untuk menambah bilangan sekolah, menaiktarafkan sekolah seperti melengkapkan sekolah dengan infrastruktur terkini bagi memastikan pendidikan di Malaysia setaraf dengan pendidikan di negara maju. Penekanan dan komitmen kerajaan Malaysia dalam pendidikan negara adalah tinggi. Fokus negara dalam membina modal insan telah jelas menunjukkan hasrat dan hala tuju negara. Secara amnya pembangunan modal insan secara kuantiti tidak sepenuhnya menjamin untuk kekal kompetitif dalam pasaran tempatan mahupun di peringkat antarabangsa. Isu kualiti juga merupakan perkara penting yang perlu di tangani dengan serius. Kerajaan telah berusaha membuat promosi dan galakan ke arah meningkatkan kualiti melalui pengiktirafan International Standard Organization (ISO) dan Quality Assurance (QA). Usaha untuk menghasilkan graduan yang berkualiti dengan pencapaian pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang kemahiran seperti kemahiran generik juga sedang giat diusahakan. Kurikulum sekolah di Malaysia adalah berpusat, tetapi kurikulum di universiti adalah anjal dan berubah mengikut keperluan semasa. Pelajar tidak perlu menduduki kursus yang tidak diminati. Pelajar boleh merancang pembelajaran mereka berasaskan kemampuan dan keupayaan sendiri. Perlaksanaan sistem semester telah memberi peluang kepada pelajar belajar subjek yang diminati dan mengikut waktu yang sesuai dengan mereka. Namun begitu, peluang memilih subjek sahaja sudah tentu tidak dapat memenuhi keperluan individu yang sememangnya mempunyai banyak perbezaan dalam berbagai perkara. Oleh itu pembelajaran secara individu merupakan satu alternatif bagi memenuhi keperluan dan keupayaan individu yang berbeza. Justeru pembelajaran secara peribadi merupakan pembelajaran yang mengambil kira perbezaan individu dan perbezaan potensi setiap individu. (Mohamad Bilal Ali, Baharuddin Aris, & Mohd Salleh Abu, 2006) Pelajar mempunyai banyak perbezaan individu seperti cita rasa, hobi, cita-cita, kecerdasan (Intelligence Quotient atau ringkasnya IQ), kecerdasan emosi (Emotional Intelligence Quotient atau ringkasnya EQ), kecerdasan spiritual (Spiritual Intelligence Quotient atau ringkasnya SQ), gaya pembelajaran (learning style), kekuatan pembelajaran (learning strength atau ringkasnya LS) dan sebagainya. Dalam kajian ini, LS diasaskan daripada multiple intelligence oleh Gardner(1993a) Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran mereka yang tersendiri dan berbeza-beza (Gardner, 1993a), (Reiff, 1992) dan (Lemire, 1996). Bagi pelajar yang cerdas, mereka akan cepat bosan jika berdepan dengan bahan yang tidak mencabar. Pelajar yang terganggu emosinya akan mempengaruhi tumpuan semasa belajar. Gaya belajar juga berbeza-beza, ada pelajar suka belajar secara berkumpulan, ada yang selesa belajar secara individu dan ada juga pelajar belajar sambil mendengar muzik. Berasaskan kepada perbezaan ini, bahan bercetak (elektronik dan bukan elektronik) yang sedia ada kurang memenuhi kepelbagaian yang wujud. Konsep bahan pembelajaran yang selama ini digunakan “one to fit all” tidak lagi sesuai untuk menangani permintaan pembelajaran yang sofistikated (Mohamad Bilal Ali, Baharuddin Aris, & Mohd Salleh Abu, 2008). Adalah mustahil penerbit menerbitkan buku rujukan yang berbagai mengikut kepelbagaian potensi pelajar. Adalah juga tidak munasabah seorang pensyarah menyediakan pelbagai bentuk bahan pengajaran untuk dimuatkan ke dalam platform e-pembelajaran semata-mata untuk memenuhi kepelbagaian cita rasa pelajar. Pensyarah juga tidak mampu untuk memenuhi keperluan kepelbagaian individu semasa sesi pengajaran secara bersemuka di bilik kuliah. Masa yang terhad dan bilangan pelajar yang ramai merupakan salah satu faktor yang menghalang pensyarah untuk memenuhi kepelbagaian individu. Adalah amat tidak praktikal untuk mengasingkan kelas mengikut kumpulan LS pelajar. Kekangan-kekangan yang dinyatakan di atas menyebabkan pembelajaran pelajar tidak berlaku secara optimum kerana tidak mengikut keperluan individu pelajar. Menurut Gardner (1993a), dengan mengambil kira perbezaan pelajar, ianya dapat mencungkil potensi dan memaksimumkan kemampuan pelajar belajar.

Item Type:Book Section
Subjects:L Education > LC Special aspects of education
Q Science > QA Mathematics > QA75 Electronic computers. Computer science
Divisions:Education
ID Code:25427
Deposited By: Zalinda Shuratman
Deposited On:01 Jun 2012 07:35
Last Modified:01 Jun 2012 07:35

Repository Staff Only: item control page