Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Aplikasi permodelan bongkah 3-Dimensi dalam pengajaran untuk meningkatkan kemahiran visualisasi pelajar-pelajar sekolah menengah teknik

Nordin, Mohd. Safarin and Saud, Muhammad Sukri and Subari, Kamarulariffin (2008) Aplikasi permodelan bongkah 3-Dimensi dalam pengajaran untuk meningkatkan kemahiran visualisasi pelajar-pelajar sekolah menengah teknik. In: ICT Dalam Pendidikan teknik dan Vokasional. Penerbit UTM , Johor, pp. 55-75. ISBN 978-983-52-0513-2

Full text not available from this repository.

Abstract

Setiap manusia yang hidup dalam dunia moden hari ini perlu mempunyai kemahiran visualisasi kerana ianya telah menjadi sebahagian perkara penting dalam pembangunan modal insan. Menurut Bertoline (1998) dan Sartain (1946; dalam Frey dan Baird, 2000), perkembangan perindustrian yang dijanakan melalui penghasilan pelbagai produk-produk baru menjadikan kemahiran visualisasi menjadi semakin penting dan perlu dikuasai oleh jurutera-jurutera dan pereka-pereka bentuk. Hal ini kerana kebanyakan produk-produk dan alatan teknologi yang muncul di sekeliling manusia pada hari ini bukan bermula dengan geometri, matematik atau fizik, tetapi ianya bermula dari gambarangambaran dalam minda orang yang menvisualkannya (Ferguson, 1992). Lazimnya jurutera dan pelukis pelan bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk atau rekaan baru melalui gambarangambaran dalam minda mereka yang dijanakan dalam bentuk grafik atau lukisan. Kumpulan manusia sebegini dianggap unik kerana memiliki kemahiran visualisasi yang tinggi. Kemahiran tersebut telah sebati dalam diri mereka kerana rutin pekerjaan mereka adalah merealisasikan sesuatu gambaran minda yang tidak pernah difikirkan sebelumnya oleh manusia lain. Jika kebolehan lisan sering dikaitkan dengan disiplin literatur, bahasa dan perucapan umum, kemahiran visualisasi pula sering dikaitkan dengan domain teknikal, vokasional, matematik dan pekerjaan (Koch, 2006; Bertoline dan Wiebe, 2003; Gillespie, 1995). Bidang-bidang teknikal dan vokasional terlibat secara langsung dengan komunikasi grafik melalui aktiviti-aktiviti reka bentuk, penyediaan lukisan kejuruteraan, lukisan teknikal atau pun lukisan geometri. Justeru itu, kebolehan berfikir secara visual dan berkongsi idea-idea visual dengan orang lain adalah penting dalam proses reka bentuk terutama di peringkat awal proses reka bentuk (Newcomer et al., 1999). Sehubungan dengan itu, kemahiran visualisasi menjadi suatu kemahiran yang sangat penting dalam kursus-kursus kejuruteraan khususnya dalam mata pelajaran lukisan kejuruteraan (Leopold et al., 2001), kejuruteraan awam (Alias et al., 2002) dan reka bentuk berbantu komputer (Sorby, 1999a). Hal ini kerana, bidang kejuruteraan memerlukan seseorang jurutera yang bukan sahaja berupaya menghasilkan idea-idea baru tetapi juga berkebolehan mempersembahkannya kepada orang lain melalui komunikasi grafik seperti lukisan kejuruteraan. Oleh itu pelajarpelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan perlu didedah dan dilengkapkan dengan pengetahuan berkaitan khususnya dalam mata pelajaran LK agar kemahiran visualisasi mereka terus berkembang. Raudebaugh (1985) mengakui bahawa kemahiran visualisasi adalah antara elemen penting dalam lukisan kejuruteraan yang sukar diajar dengan kaedah tradisional. Melalui kaedah tradisional, pelajar mungkin akan menguasai pengetahuan bahasa grafik seperti simbol-simbol, konvensi, piawaian dan prinsip-prinsip tertentu. Dalam masa yang sama juga mereka mungkin akan menguasai kemahiran menggunakan alatan geometri lukisan. Namun, ini tidak bermakna mereka telah menguasai kemahiran visualisasi. Menurut Isham (1997) kemahiran visualisasi bukan hanya setakat kebolehan mencipta dan memanipulasi gambaran mental sahaja tetapi melangkaui kepada kebolehan mempersembahkan gambaran mental tersebut sama ada secara lisan mahu pun grafik. Justeru itu, terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan telah dan sedang diuji oleh penyelidik-penyelidik dan para pendidik terdahulu melalui penyelidikan masing-masing khususnya untuk memastikan kaedah berkesan memperkembangkan kemahiran visualisasi pelajar. Antara kaedah yang sedang giat diuji diserata dunia hari ini adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer khususnya pemodelan bongkah (Leach & Matthews, 1992; Devon et. al., 1994; Gillespie, 1995; Godfrey, 1999; Mathur, 2001; Vasquez de Velasco et. al., 2001; Gerson et. al., 2001; Mona et. al., 2001; Kwon et. al., 2002; Abdul Hadi et. al., 2005).

Item Type:Book Section
Subjects:L Education
Divisions:Education
ID Code:16807
Deposited By: Liza Porijo
Deposited On:28 Oct 2011 04:58
Last Modified:05 Feb 2017 04:20

Repository Staff Only: item control page