Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Model kemahiran ICT guru pelatih IPTA di Malaysia

Abu Bakar, Zainudin and Rajuddin, Muhammad Rasyid and Ibrahim, Mohd Ali and Abdul Samad, Rahmad Shukor and Shahrir, Jamaluddin (2008) Model kemahiran ICT guru pelatih IPTA di Malaysia. In: testing. ARAH PUBLICATIONS SDN BHD, pp. 151-161. (Submitted)

[img] Microsoft Word - Submitted Version
175kB

Abstract

Perbincangan tentang kemahiran ICT dalam kalangan guru-guru pelatih menunjukkan betapa pentingnya kemahiran tersebut kepada guru-guru terutamanya dalam membantu proses pengajaran pembelajaran di sekolah. Ianya sesuai dengan matlamat Negara yang ingin menjadi sebuah Negara maju pada tahun 2020. Tanpa bantuan dan kerjasama yang erat dan ikhlas daripada pihak sekolah, khususnya guru-guru, hasrat untuk menjadi sebuah Negara maju tidak akan tercapai. Pembentukan individu yang seimbang seperti yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan jelas menerangkan tentang keseimbangan yang perlu dicapai oleh generasi penerus negara. Pelajar-pelajar sekolah dalam hal ini perlu membina dan menguasai kemahiran dan kepintaran yang disampaikan di sekolah secara seimbang. Justeru itu, penyerapan dan penguasaan kemahiran di sekolah tidak hanya terfokus kepada kemahiran kognitif semata-mata tetapi juga meliputi lain-lain aspek berkaitan keseluruhan diri seseorang individu. Dalam proses pengajaran pembelajaran perlu diperhatikan bagaimana usaha membentuk insan yang seimbang perlu mengambil kira pelbagai aspek sama ada dari aspek sumber manusianya (guru-guru, pelajar, keluarga, dan masyarakat) hinggalah kepada kemudahan-kemudahan asas yang disediakan (seperti kemudahan asas di sekolah, kemudahan peralatan, bahan pengajaran, dan juga kemudahan ICT). Guru dalam hal ini perlu memastikan diri mereka dilengkapi bukan sahaja dengan pengetahuan tentang subjek pengajaran yang diajar tetapi juga aspek-aspek berkaitan seperti kemahiran membimbing, menunjukajar, serta kemahiran menggunakan ICT sebagai alat dalam pengajaran pembelajaran. Guru perlu memastikan bahawa semua elemen yang dimilikki dapat digunakan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar dalam bilik darjah. Kemahiran ICT umpamanya, perlu dilihat sebagai suatu keperluan dalam proses pengajaran pembelajaran. Guru-guru setiap masa perlu memastikan diri mereka dilengkapi dengan kemahiran ini sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia Pendidikan global. Penggunaan ICT dalam pengajaran bukan lagi merupakan sesuatu yang pelik atau sebagai bebanan, tetapi lebih kepada alat yang boleh membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Justeru itu pelbagai aspek perlu diperhatikan bagi menjamin kejayaan dan keberkesanan penggunaan ICT dalam proses pengajaran pembelajaran. Bermula daripada minat, diikuti dengan sikap, lama kelamaan akan dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan intensiti penggunaan ICT dengan lebih kerap. Banyak kajian telah dijalankan terhadap pengaruh penggunaan ICT dalam pengajaran pembelajaran di sekolah. Kebanyakannya mendapati bahawa ICT telah dapat meningkatkan minat, sikap, cara belajar dan juga pencapaian pelajar-pelajar di sekolah. Dari aspek guru pula mereka merasakan pengajaran pembelajaran di dalam bilik darjah sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Sebaliknya banyak juga kajian-kajian yang menunjukkan bagi guru-guru yang kurang berkemahiran dalam menggunakan ICT menganggap penggunaan ICT sebagai menambah beban kerja dan menyukarkan proses perancangan pengajaran mereka. Justeru pada mereka pengajaran tradisional lebih membantu dan mudah untuk dilaksanakan. Namun begitu perbezaan persepsi dan sikap guru-guru terhadap penggunaan ICT sebagai alat tidak menolak kenyataan tentang kepentingan ICT khususnya dalam dunia global sekarang ini. Justru tindakan yang lebih proaktif perlu ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat dalam profesion perguruan. Sebagai permulaan, usaha menanamkan dan meningkatkan keupayaan dan kemahiran penggunaan ICT di kalangan guru-guru perlu dilakukan sejak semasa mereka dalam kursus perguruan lagi. Di sini minat mereka dapat dipertingkatkan supaya dapat membentuk sikap yang positif terhadap penggunaan ICT. Dalam hal pihak institusi perlu memastikan segala kemudahan dan kebolehcapaian sentiasa berada pada keadaan yang memuaskan. Pelatih-pelatih perlu diberikan peluang yang luas bagi meningkatkan minat dan kemahiran mereka dalam bidang ICT. Secara tidak langsung akan memastikan mereka mempunyai persepsi yang positif dan seterusnya membentuk sikap yang positif terhadap penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Melalui pendedahan dan program kursus Pendidikan yang terstruktur dan tersusun juga akan dapat memastikan penggunaan ICT sebagai alat dalam proses pembelajaran. Universiti dalam hal ini perlu menunjukkan keupayaan menggunakan ICT dalam apa juga urusan sehari-hari. Secara tidak langsung akan dapat mempengaruhi budaya kerja bakal-bakal guru kepada penggunaan ICT.

Item Type:Book Section
Subjects:H Social Sciences > H Social Sciences (General)
Divisions:Education
ID Code:11259
Deposited By: Dr Zainudin Abu Bakar
Deposited On:16 Dec 2010 03:35
Last Modified:27 Jul 2017 02:12

Repository Staff Only: item control page