Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository

Perekayasaan permohonan pembangunan tanah secara serah balik kurnia semula di negeri Johor

Arif, Amirul Haffiz (2022) Perekayasaan permohonan pembangunan tanah secara serah balik kurnia semula di negeri Johor. PhD thesis, Universiti Teknologi Malaysia, Faculty of Built Environment & Surveying.

[img]
Preview
PDF
958kB

Official URL: http://dms.library.utm.my:8080/vital/access/manage...

Abstract

Serah Balik Kurnia Semula (SBKS) adalah salah satu mekanisme utama pembangunan tanah bagi Negeri Johor. Ia menyumbang kepada penjanaan pendapatan Kerajaan Negeri dalam bentuk premium, cukai tanah dan hasil tanah lain yang merupakan proses utama kepada kelulusan permohonan SBKS. Namun demikian, ketiadaan tempoh masa kelulusan permohonan yang jelas telah menjejaskan penjanaan pendapatan Kerajaan Negeri, kerugian dari segi kos pembangunan kepada pemaju dan persepsi negatif masyarakat terhadap kompetensi dan kecekapan sistem penyampaian kerajaan. Jurang teori dan masalah yang dikenal pasti dalam industri telah menggariskan objektif kajian ini iaitu pertama untuk mengenal pasti faktor kelewatan internal dan eksternal dalam proses permohonan SBKS; keduanya untuk membentuk perekayasaan permohonan aplikasi SBKS di Negeri Johor bagi mengatasi faktor kelewatan internal yang dikenal pasti; dan akhir sekali untuk menilai implikasi kewangan dan bukan kewangan kepada Kerajaan Negeri dan masyarakat dalam perekayasaan permohonan aplikasi SBKS. Kajian kes ini dijalankan di Pejabat Tanah Johor Bahru dan menggunakan pendekatan kualitatif dengan menggunakan kaedah temu bual sebagai pengumpulan data. Temu bual dilaksanakan dalam dua sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) berasingan dengan memilih responden berdasarkan teknik persampelan bertujuan. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian Atlas.ti. Hasil analisis mengenal pasti 12 faktor kelewatan dalaman dan enam faktor luaran dalam proses permohonan SBKS di Pejabat Tanah Johor Bahru di mana ia selaras dengan lima faktor kelewatan teoritikal, yang meliputi prosedur kelulusan permohonan, tempoh masa kelulusan, kerjasama, kapasiti keupayaan agensi dan dokumentasi. Berdasarkan penemuan ini, satu proses rangka kerja perekayasaan telah dibangunkan bagi mengatasi kelewatan dan mempercepatkan proses kelulusan permohonan SBKS. Manfaat penambahbaikan ini telah memberi sumbangan kewangan melalui peningkatan pendapatan bagi Kerajaan Negeri Johor. Manakala sumbangan bukan kewangan telah memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati dan menggunakan infrastruktur awam dalam bentuk jalan raya, kawasan lapang, dewan orang ramai, sekolah dan rumah ibadat yang lebih baik. Lebih-lebih lagi, orang ramai berpuas hati apabila projek pembangunan berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kajian ini telah menghasilkan pelaksanaan SBKS 2.0 yang membolehkan tempoh masa proses kerja di Pentadbiran Tanah dikurangkan dengan banyak daripada 505 hari kepada 107 hari. Mitigasi dan cadangan penambahbaikan kerangka kerja sedia ada ini adalah merujuk kepada teori perekayasaan menggunakan prinsip kejuruteraan semula proses pengurusan (BPR) sebagai usaha ke arah transformasi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan sektor awam khususnya dalam Pentadbiran Tanah Johor.

Item Type:Thesis (PhD)
Uncontrolled Keywords:SBKS, Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD), penjanaan pendapatan
Subjects:H Social Sciences > HD Industries. Land use. Labor
Divisions:Built Environment
ID Code:100230
Deposited By: Yanti Mohd Shah
Deposited On:29 Mar 2023 06:57
Last Modified:29 Mar 2023 06:57

Repository Staff Only: item control page